Jumaat, 6 Mac 2009

BAB 11 - HISYAM: LAGI MEMBATANG RINTANGAN

DIKAJI OLEH: NUR KHAIRUNNISA BINTI MAIDIN (U6-3)

(1) SIPNOSIS


Berita mengenai persetujuan Long Nemat untuk membenarkan projek pembinaan jalan raya yang dibina di depan rumah Long Nemat membuatkan Rahmat dan Hisyam gembira. Jalan tersebut pada asalnya akan dibina menyimpang ke hulu hingga melalui tanah Pak Ngah Baki. Tetapi masalah telah timbul apabila Pak Ngah Baki mengambil sikap dingin terhadap mereka iaitu Rahmat dan Hisyam. 

Dalam perjalanan untuk menemui Pak Ngah Baki di rumahnya, Rahmat dan Hisyam hanya disambut oleh Mak Ngah Saeram kerana Pak Ngah Baki pergi ke hilir. Keesokkan paginya, Rahmat bertemu dengan Pak Ngah Baki yang sedang membonceng motosikal Rauf dan menjemput Rahmat dengan Hisyam datang ke rumahnya pada malam itu. Pada petang itu, Hisyam akan memberi ceramah mengenai ekonomi di sekolah walaupun syarahannya itu tidak setanding dengan syarahan di universiti. Dalam ceramah ini, Hisyam ada menyentuh soal cottage industry di mana ada beberapa orang yang berbakat dalam membuat sesuatu barang yang selama ini tertimbus oleh kemunduran dan permintaan yang negatif. Antaranya ialah Abang Kasan yang pandai membuat parang walaupun dia sedikit cacat.

Berbagai-bagai jenis pembaharuan yang ingin Hisyam buat seperti membuka kedai rotan. Hisyam juga ingin membuat bangsal memasak dan menggosok rotan yang telah dipelajarinya daripada Pak Utih Rahman. Setelah bangunan sekolah ditinggalkan oleh orang-orang kampong, Hisyam mengingatkan Rahmat mengenai kontrak Hisyam yang selama 3 tahun itu. Munirah pula menyuruh Hisyam untuk menyambung kontraknya untuk setahun dua tetapi dengan pantas Hisyam menolaknya.

Pada malam itu, Rahmat dan Hisyam pergi ke rumah Pak Ngah Baki seperti yang dijanjikan. Pak Ngah Baki telah bersetuju membenarkan Rahmat dan Hisyam untuk menjalankan rancangan mereka dalam membina jalan yang melalui tanahnya itu. Sejak pembinaan jalan itu berjaya, Jalil dengan motosikal telah membuat bising di hadapan sekolah dengan membunyikan hon di mana kanak-kanak telah membelakangkan pelajaran yang sedang diajar oleh Munirah dan Hisyam. Ini membuatkan Hisyam merasa tercabar dan hilang kesabaran dengan kelakuan Jalil.

Rahmat, Hisyam dan juga Seman juga telah pergi ke Gemas untuk membeli kayu dan papan untuk membina rumah Long Nemat. Semasa di Gemas, Seman menceritakan mengenai Lijah yang cuba untuk membunuh diri dan Seman juga bercadang untuk mengahwini Lijah memandangkan Seman suka dengannya tetapi terhalang dengan keadaannya yang miskin.

Khabar Seman untuk menikahi Lijah telah pun heboh sekampung. Utih Latih dan Mak Utih Latih serta keluarga Lijah tidak banyak bicara dan mereka hanya curiga kalau pisang berbuah dua kali. Setelah perundingan yang mendapat persetujuan waris, ijab-kabul di antara Seman dan Lijah akan berlangsung selepas musim buah. Jalil dan kuncu-kuncunya tidak melepaskan peluang untuk mengejek dan menyindir Seman dan Lijah serta keluarga mereka.

Hisyam, Rahmat, Seman dan juga Long Nemat bergotong royong membina kedai Seman dan ia hanya memakan masa selama seminggu sahaja. Selepas itu, mereka beralih pula untuk membina rumah Long Nemat. Ramai juga yang datang turut membantu dalam pembinaan rumah Long Nemat walaupun dengan ketiadaan Pak Dagang dan akhirnya pembinaan rumah Long Nemat telah pun siap.

Sewaktu Munirah dan Hisyam mengajar, kedengaran bunyi motosikal Jalil. Hisyam dengan lembutnya menegur Jalil supaya jangan membuat bising di hadapan sekolah. Dengan marah, Jalil berlalu pergi dengan motosikalnya. Sebaik sahaja waktu rehat, Jalil bersama Rauf datang beramai menuju ke sekolah. Berlakulah satu pertengkaran di mana Hisyam menentang Rauf yang membela anak buahnya iaitu Jalil. Dalam kesibukkan Hisyam bertarung dengan Rauf, kedengaran satu suara yang menjerit nama Jalil dan orang itu adalah Pak Ngah Baki. Pada hakikatnya, Pak Ngah Baki sengaja meleraikan pergaduhan Hisyam dengan Rauf kerana Pak Ngah Baki tidak mahu anak buahnya tewas memandangkan mereka adalah keturunan pahlawan.

Ketika Seman, Hisyam, Latif dan Manaf sibuk menanam pokok-pokok buah disekeliling kawasan sekolah dan kawasan yang berhampiran, Manaf merasa terkejut dengan kata-kata Seman. Manaf tidak menyangka kalau Hisyam akan berada di kampong Batu Ragi hanya selama 3 tahun dan selepas itu akan balik semula ke Perak. Sebaik sahaja selesai menanam pokok-pokok tersebut, Manaf memberikan Hisyam sepucuk surat dari Salwa, anak Pak Ngah Baki. Berhari-hari Hisyam tidak membaca surat tersebut kerana dia takut ditipu lagi. 

Perbualan Hisyam dengan Manaf terhenti apabila Seman tiba dengan wajahnya yang muram dan marah. Seman yang baru sahaja pulang dari hilir, dari rumah Lijah telah menceritakan mengenai Jalil yang ingin berbalik semula dengan Lijah. Inilah yang membuatkan Seman muram dan marah.

(2) PERISTIWA PENTING
1. Hisyam merasa gembira apabila mendengar berita mengenai persetujuan yang diberikan oleh Long Nemat.
2. Pak Ngah Baki telah mengubah fikirannya untuk tidak membenarkan pembinaan jalan dijalankan di mana jalan tersebut pada mulanya dibina menyimpang ke hulu hingga melalui tanah Pak Ngah Baki.
3. Hisyam memberi ceramah kepada orang-orang kampung mengenai ekonomi di sekolah.
4. Hisyam ingin membuka kedai rotan serta membuat bangsal memasak dan menggosok rotan.
5. Rahmat dan Hisyam pergi ke rumah Pak Ngah Baki untuk memujuk Pak Ngah Baki supaya membenarkan pembinaan jalan yang melalui tanahnya dan akhirnya Pak Ngah Baki bersetuju juga.
6. Pembinaan jalan-jalan kampung yang dirancang telah pun selesai dan kebanyakkan penduduk-penduduk kampung merasa gembira apabila menggunakannya.
7. Hanya Pak Ngah Baki dan keluarganya, Rauf, Jalil dan ibunya, Imam Jusuh dan Darwiah, Ucu Saat dan Pak Dagang sengaja menunjukkan keangkuhan dan ego mereka.
8. Ucu Saat dan Pak Dagang merasa terancam kerana tol pengangkutan mereka berkurang dengan adanya jalan yang baru sahaja siap dibina. 
9. Berita mengenai kehamilan Lijah sudah pun diketahui oleh penduduk kampung dan Mak Cik Saarah bermati-matian membela Jalil.
10. Jalil membuat bising dengan membunyikan hon motosikal suzukinya di hadapan bangunan sekolah dan ini menyebabkan kanak-kanak membelakangkan pelajaran yang sedang diajar. 
11. Hisyam merasa tercabar dengan kelakuan Jalil yang sering menggangu kanak-kanak yang sedang belajar dengan membuat bising di hadapan bangunan sekolah.
12. Hisyam ingin membuat perhitungan dengan Jalil. Hisyam ingin memberi Jalil dua peluang, pertama Hisyam akan membiarkannya saja dan yang kedua Hisyam akan bertindak.
13. Rahmat, Hisyam dan juga Seman pergi ke Gemas untuk membeli papan dan kayu untuk membina rumah Long Nemat.
14. Seman mengkhabarkan mengenai Lijah yang ingin membunuh diri di Sungai Muar.
15. Seman ingin mengahwini Lijah dan ijab-kabulnya akan berlangsung selepas musim buah.
16. Rahmat, Hisyam, Seman, Long Nemat dan beberapa orang penduduk kampong telah bergotong royong membina rumah Long Nemat.
17. Hisyam telah bertengkar dengan Rauf di hadapan sekolah kerana Hisyam menegur Jalil yang telah membuat bising di hadapan sekolah.
18. Hisyam menerima sepucuk surat daripada Salwa, anak Pak Ngah Baki.
19. Jalil ingin berbaik semula dengan Lijah, bakal isteri Seman.

 
(3) WATAK
1. Rahmat 13. Pak Dagang
2. Munirah 14. Ucu Saat
3. Hisyam 15. Hamilah
4. Pak Ngah Baki 16. Masita
5. Jalil 17. Darwiah
6. Rauf 18. Imam Jusuh
7. Mak Cik Saeram 19. Mak Cik Saarah
8. Salwa 20. Lijah
9. Long Nemat 21. Ismail
10. Long Nermah 22. Manaf
11. Abang Kasan 23. Latif
12. Long Atan

(4) LATAR TEMPAT/MASA
Tempat:
1. Di tangga rumah Pak Utih Rahman
2. Rumah Pak Ngah Baki
3. Lorong jalan di kawasan Long Nemat
4. Di hadapan sekolah
5. Di hulu
6. Di hilir
7. Sungai Muar
8. Di Gemas
9. Di hadapan kedai Seman
Masa:
1. Pagi
2. Petang
3. Selepas maghrib
4. Lewat petang
5. Tiga hari masuk keempat
6. Waktu sembahyang Asar
7. Hari Jumaat
8. Malam
9. Sehingga pukul sebelas setengah
10. Lewat rembang
11. Kelmarin

(5) PERSOALAN
Sebahagian penduduk kampung Batu Ragi menentang pembaharuan yang ingin dicapai oleh Rahmat, Munirah dan juga Hisyam. Di antaranya ialah Long Nemat, Ucu Saat, Pak Dagang, Imam Jusuh, Pak Ngah Baki, Mak Cik Saarah, Jalil, Rauf serta beberapa orang lagi. Mereka ini menentang kemajuan yang dibawa oleh Rahmat atas sebab-sebab yang tertentu tetapi alasan mereka ini adalah berdasarkan kepentingan mereka sendiri.

(6) UNSUR
1. Kemasyarakatan 
Sifat bergotong royong merupakan salah satu amalan di kampong Batu Ragi di mana penduduk kampung telah bersepakat untuk membantu Rahmat, Hisyam, Seman dan juga Long Nemat untuk membina rumah Long Nemat. 
2. Pendidikan
Hisyam dan Munirah mengajar kanak-kanak di kampong Batu Ragi yang berumur dalam lingkungan 7 tahun hingga 12 tahun sahaja. Mendidik anak-anak di kampong merupakan salah satu pembaharuan yang ingin dibawa oleh Rahmat, Munirah dan juga Hisyam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan penentangan daripada sesetengah pihak.
3. Penghinaan
Jalil dan kuncu-kuncunya serta Mak Cik Saarah menghina Seman dan Lijah kerana Seman dianggap mengambil sepah yang telah dibuang. Mak Cik Saarah benar-benar mencari keburukkan dan kebusukkan yang ada pada diri Lijah dan kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menerkam Lijah di hadapan orang ramai. Seman juga kini telah menjadi sampah apabila Mak Cik Saarah memandangnya.
4. Ekonomi
Ceramah yang dibincangkan bersama Hisyam begitu menarik minat penduduk kampung untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara-cara mendapatkan wang mengikut kemampuan orang-orang kampung, membelanjakan wang, menyimpan dan menyelamatkan wang daripada membazir. Disamping itu juga, dengan perkembangan yang mungkin timbul dengan adanya jalan keluar, peredaran kewangan orang kampung akan menjadi ligat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan